Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner dalam merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kanak-kanak pintar cerdas

Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner adalah berlandaskan prinsip-prinsip berikut: 

      Setiap individu mempunyai kesemua lapan kecerdasan tetapi pada tahap perkembangan yang berlainan. 

      Kebanyakan individu dapat mengembangkan setiap kecerdasan ke satu tahap yang cekap jika diberi galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai. 

      Kecerdasan jarang beroperasi secara tersendiri. Beberapa kecerdasan akan bertindak serentak dalam menghasilkan sesuatu kerja. 

      Sesuatu kecerdasan boleh dimanifestasikan dalam pelbagai cara dan bentuk. 

    Mengikut model Gardner, kecerdasan seseorang boleh dipelajari, dikembang dan dipertingkatkan, bukannya ditetapkan semasa dilahirkan. Kecerdasan ini dibahagikan kepada 8 jenis, iaitu Verbal- Linguistik, Logikal Mathematik, Muzik, Visual Ruang, Kinestestik, Interpersonal, Intrapersonal dan Naturalis.

    Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner ini memainkan peranan yang vital untuk rujukan guru dalam proses memahami kanak-kanak pintar cerdas. Guru sebagai fasilitator dan mentor disarankan mengenal pasti kecerdasan pelbagai diri sendiri supaya mudah membimbing anak muridnya sebagai mentee. Pendidik yang kreatif berperanan penting dalam usaha membantu murid belajar dengan gaya yang sesuai dengan minat dan kemampuan mereka. Berpandukan teori Gardner, guru dapat mengenal pasti gaya belajar dan merancang intervensi bagi memudahkan proses belajar. Potensi kanak-kanak pintar cerdas berdasarkan kecerdasan pelbagai menjadi maklumat dalam membantu pendidik memberikan tugasan yang bersesuaian dengan minat, bakat dan keupayaan mereka. Peningkatan kecerdasan pelbagai pelajar dapat memberi kesedaran bahawa potensinya sebenarnya tidak terbatas.

    Dalam konteks memahami kanak-kanak pintar cerdas, dengan berpandukan Teori Kecerdasan Pelbagai, guru perlu menerima persamaan dan perbezaan serta keunikan tersendiri pada setiap kanak-kanak yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Ini penting dikenal pasti oleh guru bagi memahami gaya belajar anak muridnya di samping membantu mereka mencari teknik yang sesuai untuk belajar. Dengan ini, anak murid akan lebih bermotivasi untuk belajar kerana cara belajar sesuai dengan gaya mereka sendiri. Teori kecerdasan pelbagai ini membolehkan guru memberi tunjuk ajar sepenuhnya tentang kekuatan dan kelemahan yang ada pada kanak-kanak pintar cerdas agar dapat mengukuhkan lagi kekuatan mereka dan dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada diri mereka.

    Bertitik tolak daripada itu, Teori Kecerdasan Pelbagai juga dapat membantu guru merancang proses pengajaran dan pembelajaran mereka khusus kepada kanak-kanak pintar cerdas. Terdapat tiga peringkat dalam melaksanakan teori kecerdasan pelbagai bagi membantu guru merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran, iaitu padanan, percubaan dan peningkatan.

    Pada peringkat pertama, guru perlu memadankan pengajaran dan pembelajaran dengan kecerdasan pelbagai murid. Guru perlu mengenal pasti kecerdasan anak muridnya bagi memudahkan proses pembelajaran. Contohnya, jika seseorang kanak-kanak mempunyai kecerdasan verbal-linguistik yang menonjol, guru perlu mencungkil bakat dan potensi kanak-kanak pintar cerdas tersebut dalam penulisan kreatif, perbahasan dan bidang pengacaraan. Pada peringkat ini, guru juga perlu mempelbagaikan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran supaya murid lain dapat belajar dengan baik walaupun caranya berbeza.

    Pada peringkat percubaan pula, guru perlu memikirkan bagaimana teori kecerdasan pelbagai boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Berikut merupakan contoh persoalan intrapersonal yang boleh diketengahkan oleh guru untuk mengenal pasti objektif aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran:

    Akhir sekali, pada peringkat peningkatan, guru perlu mengaitkan teori kecerdasan pelbagai dengan kemahiran berfikir untuk perkembangan murid. Melalui peningkatan ini, murid dapat mengaplikasikan apa yang diajar dalam topik-topik tertentu.

i)  Visual-ruang - murid dapat melakar, membuat peta minda, membayangkan masalah dan penyelesaiannya.

ii) Kinestetik - murid boleh memanipulasi alat, bahan untuk menyelesaikan masalah.

iii) Interpersonal - murid mendapat pelbagai idea melalui interaksi dengan orang lain mengenai masalah dan penyelesaiannya.

iv) Intrapersonal - murid membuat refleksi secara mendalam berasaskan pengalaman, perasaan diri mengenai masalah dan penyelesaiannya.

v) Naturalis - murid dapat menggunakan contoh daripada alam semula jadi untuk mengkaji masalah dan penyelesaiannya.

vi) Muzik – murid dapat menggunakan ritma muzik untuk mengaitkannya dengan topik-topik tertentu.

vii) Logikal Mathematik – murid boleh merumuskan data atau maklumat dalam bentuk yang mudah difahami.

viii) Verbal-Linguistik – murid boleh bercerita, memberi syarahan atau membuat pembentangan tentang topik pembelajaran.

    Melalui peningkatan kecerdasan kanak-kanak pintar cerdas, kreatviti dan inovasi dapat dicungkil daripada sanubari mereka. Mereka juga berupaya memperoleh pelbagai perspektif mengenai sesuatu perkara serta mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang sedia ada dalam situasi atau konteks yang baru dan berlainan. 

    Sudah terang lagi bersuluh bahawa guru boleh menjadikan teori kecerdasan pelbagai sebagai panduan untuk mereka merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kanak-kanak pintar cerdas. Kaedah ini membolehkan guru mempelbagaikan cara pangajarannya supaya proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan itu tidak berfokus pada kecerdasan tertentu sahaja sehingga membosankan murid.

Comments

Popular posts from this blog

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kanak-kanak pintar cerdas: Kaedah Keterbezaan