Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kanak-kanak pintar cerdas: Kaedah Keterbezaan
Kaedah Keterbezaan
- Pembelajaran keterbezaan dari segi kandungan
Pembelajaran keterbezaan dari segi isi kandungan merangkumi sub topik, topik atau bab yang diajar kepada murid biasa dan kanak-kanak pintar cerdas. Prinsip di sebalik pembezaan isi kandungan pelajaran adalah selari dengan prinsip pengayaan di mana anak murid meneroka isi kandungan yang diajar di peringkat yang berbeza. Kandungan pelajaran asas haruslah mengikut standard pembelajaran yang ditetapkan oleh pendidikan negara. Namun, terdapat sesetengah murid yang tidak dapat menguasai kandungan yang diberikan, mempunyai penguasaan separa ataupun mungkin sudah biasa dengan kandungan sebelum pelajaran bermula. Maka, guru perlu membezakan kandungan dengan merancang aktiviti untuk kumpulan murid yang merangkumi pelbagai tahap Taksonomi Bloom. Murid yang lemah boleh diminta untuk menyelesaikan tugasan seperti mengadaptasi kandungan. Murid yang mempunyai penguasaan sederhana diminta untuk menilai kandungan manakala bagi kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai tahap penguasaan tinggi pula menyelesaikan tugasan dalam penciptaan. Dengan ini, murid boleh menjadi inovatif dalam memperkayakan pembelajaran mereka dan secara tidak langsung mereka dapat mengasah kemahiran pemikiran aras tinggi seperti pemikiran kritis (membuat analisis, aplikasi serta pemikiran kreatif dengan membuat perkaitan dan mengkaji perhubungan). Kanak-kanak pintar cerdas berpeluang meneroka kebolehan mereka dengan lebih jauh manakala murid yang mempunyai bakat atau minat yang berbeza pula boleh mengaitkan apa yang dipelajari dengan sesuatu yang lebih bermakna.
- Pembelajaran keterbezaan dari segi proses (pembelajaran)
Pembelajaran keterbezaan dari segi proses ialah murid melakukan aktiviti yang sama tetapi melalui proses yang berbeza. Disebabkan setiap murid mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza, murid boleh membentuk kumpulan yang mempunyai persamaan dari segi gaya pembelajaran dan memilih untuk belajar dengan apa jua cara yang paling disukai. Guru boleh menjalankan pembelajaran keterbezaan semasa proses pengajaran dan pemudahcaraan dengan membenarkan murid memilih gaya belajar yang lebih dekat dengan jenis kecerdasan pelbagai yang mereka miliki. Sebagai contoh, bagi murid yang mempunyai tahap kecerdasan interpersonal yang tinggi, mereka boleh mendapat pelbagai idea melalui interaksi dengan rakan sebaya atau guru mengenai masalah dan penyelesaiannya. Dalam Bloom Taksonomi, murid boleh belajar mengikut tahap pengetahuan dan kefahaman masing-masing malahan mencabar diri sehingga ke tahap penciptaan. Guru perlu menggunakan pendekatan yang berbeza bagi kelompok murid yang berlainan. Murid boleh memilih untuk bekerja berpasangan, kumpulan kecil atau secara individu bagi membolehkan mereka mendapat manfaat dari interaksi bersama rakan sebaya.
- Pembelajaran keterbezaan dari segi produk (penilaian)
Pembelajaran keterbezaan dari segi produk pula memerlukan murid untuk menghasilkan produk yang berlainan mengikut kefahaman dan keupayaan serta kepelbagaian kaedah pentaksiran boleh dilakukan oleh guru. Produk itu merujuk kepada benda yang murid buat pada akhir pembelajaran untuk menunjukkan penguasaan kandungan tersebut. Produk boleh diaplikasi dalam bentuk ujian, projek, laporan atau aktiviti lain. Dalam kaedah pembelajaran keterbezaan dari segi produk, murid diberi ruang untuk mencadangkan kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk menilai hasil pembelajaran mereka. Antara kaedah penilaian yang boleh dilakukan bagi melihat kefahaman seseorang murid serta membuktikan mereka telah menguasai pengetahuan tersebut adalah penilaian secara formatif seperti membuat sketsa, pembentangan mengikut stesen, menggambarkan kandungan yang dipelajari dalam bentuk visual serta menjelaskan isi petikan dalam bentuk ilustrasi manakala bagi penilaian berbentuk sumatif pula, murid dikehendaki menghasilkan satu projek atau produk mengikut kecenderungan mereka berdasarkan topik yang dibincangkan dengan guru.
Dalam pada itu, Passow (1982) telah membina tujuh prinsip dalam pembezaan kurikulum yang perlu diberi perhatian dan menjadi panduan. Prinsip-prinsip tersebut ialah:
- Kandungan kurikulum untuk kanak-kanak pintar cerdas hendaklah berfokus dan disusun dengan lebih teliti, kompleks, pembelajaran yang mendalam terhadap sesuatu idea, masalah dan tema yang menggabungkan pengetahuan serta merentasi sistem pemikiran.
- Kurikulum untuk kanak-kanak pintar cerdas hendaklah membenarkan mereka membina dan mengaplikasikan kemahiran berfikir secara produktif yang membolehkan mereka membina semula konsep pengetahuan sedia ada atau membina ilmu pengetahuan baru.
- Kurikulum untuk kanak-kanak pintar cerdas hendaklah membenarkan mereka untuk sentiasa meneroka ilmu dan maklumat serta membina satu kesedaran bahawa ilmu sangat mempengaruhi kehidupan mereka.
- Kurikulum untuk kanak-kanak pintar hendaklah menggalakkan pendedahan, pemilihan dan penggunaan sumber yang sesuai dan khusus.
- Kurikulum untuk kanak-kanak pintar hendaklah dapat membantu mereka untuk meningkatkan inisiatif kendiri dan perkembangan pembelajaran arah kendiri.
- Kurikulum untuk kanak-kanak pintar hendaklah menyediakan keperluan pembangunan kefahaman terhadap diri sendiri, memahami hubungan antara individu, institusi sosial, persekitaran dan budaya.
- Perkembangan kurikulum untuk kanak-kanak pintar cerdas hendaklah dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip yang telah ditetapkan, menekankan kepada kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti dan cemerlang dalam pencapaian dan produk.
Comments
Post a Comment