Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kanak-kanak pintar cerdas: Kaedah Pengayaan
Kaedah Pengayaan
Kaedah pengayaan merupakan aktiviti asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Kaedah ini juga merupakan satu proses di mana aktiviti-aktiviti tambahan yang mempunyai aras kesukaran yang lebih tinggi daripada aras aktiviti-aktiviti pembelajaran normal yang dijalankan bagi memenuhi keperluan murid pintar cerdas mengikut kemampuan dan kekuatan mental kanak-kanak pintar cerdas tersebut. Kaedah ini memberi peluang kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk mendalami dan meluaskan pengetahuan serta pengalaman mereka berdasarkan tajuk yang dipelajari, di samping memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang sedia ada, meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka, memberi ruang untuk mengembangkan lagi daya kreatif, minat, sifat ingin tahu, sikap berdikari dan bakat kepimpinan dalam pelbagai bidang serta memperkembangkan potensi kepada tahap yang paling maksimum.
Model yang sering digunakan di Malaysia ialah Model Pengayaan Seluruh Sekolah atau The Schoolwide Enrichment Model (SEM). SEM ini bermula dari Aktiviti Jenis I, Jenis II dan Jenis III. Aktiviti Jenis I mendedahkan pelajar kepada dunia luar dan pelajaran yang tidak diajar di dalam kelas formal. Pengalaman dan penemuan yang diperolehi dapat membantu kanak-kanak pintar cerdas mengenalpasti minat dan bidang untuk diteroka dan diselidik seterusnya. Aktiviti Jenis II bertujuan untuk memberikan kanak-kanak pintar cerdas kemahiran-kemahiran asas bagi mengembangkan minat mereka. Antara kemahiran yang diberikan ialah Kursus Kemahiran Berfikir yang memberikan pendedahan dan latihan kepada mereka untuk berfikir secara meluas, kreatif, analisis, inovatif, kritis dan bentuk pemikiran yang lain lagi. Aktiviti Jenis III pula merupakan gerak kerja kanak-kanak pintar cerdas sama ada menjalankan penyelidikan, mereka cipta atau aktiviti-aktiviti yang mencabar kepada mereka. Guru haruslah sentiasa mengawal perjalanan kumpulan masing-masing.
Terdapat dua bentuk pengayaan, iaitu pengayaan yang mendalam dan pengayaan yang meluas. Pengayaan yang mendalam bermaksud membuka peluang untuk kanak-kanak pintar cerdas belajar dengan lebih mendalam berkaitan bidang yang menjadi sebahagian kurikulum biasa di sekolah. Pengayaan yang meluas pula membimbing kanak-kanak pintar cerdas untuk mempelajari sesuatu bidang yang di luar daripada aktiviti kurikulum biasa iaitu bidang yang tiada dalam silibus pelajaran mereka. Kaedah pengayaan adalah kaedah pendekatan pendidikan yang didasarkan mengikut kemampuan dan kekuatan mental seseorang anak murid. Ini merupakan satu pendekatan alternatif bagi model pendidikan luar biasa. Pendekatan ini melibatkan tugasan bagi mengetahui sejauh mana kebolehan kanak-kanak pintar cerdas dan menggunakan maklumat tersebut sebagai titik tolak dalam mencipta lingkungan belajar. Implikasi daripada program pengayaan ini termasuklah objektif bagi setiap mata pelajaran dapat dicapai di samping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Kaedah ini juga dapat mengelakkan pelajar dari kebosanan. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan. Bagi memantapkan program pengayaan, guru boleh menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak murid menerusi aktiviti seperti slot ceramah dan tazkirah supaya anak murid mempunyai nilai-nilai semangat kewarganegaraan yang berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Selain itu, semua pihak perlu melibatkan diri dalam membangunkan sistem pengurusan kolaborasi di antara ibu bapa, guru, pihak sekolah dan murid. Ini penting supaya semua pihak merasa bahawa diri mereka dihargai selain dapat membantu merancang aktiviti yang bersesuaian.
Aktiviti Pengayaan
Aktiviti pengayaan dijalankan dengan keperluan kognitif kanak-kanak sama ada bercorak belajar kendiri berdasarkan modul dan pembelajaran arah kendiri atau berbentuk lembaran kerja atau projek. Aktivitinya pula dijalankan secara tidak formal dan tidak dimasukkan dalam jadual waktu tetap sekolah Bimbingan guru adalah pada tahap minima kerana aktiviti pengayaan bercorak belajar kendiri. Hasil aktiviti dibincangkan dengan guru atau rakan sebaya, kemudian guru akan memberi ganjaran supaya murid-murid merasai yang semua usaha mereka dihargai.
Kaedah pengayaan mengisi masa kanak-kanak yang belajar lebih cepat dengan menawarkan bahan atau kegiatan yang tidak membolehkan kemajuan cepat melalui kurikulum yang ditetapkan. Kaedah pengayaan mungkin termasuk kanak-kanak diperkenalkan ke bidang lain atau aktiviti lain seperti seni, muzik, menulis jurnal, kelab atau kunjungan lapangan atau diberikan tanggungjawab seperti pembantu guru di dalam kelas.
Sebagai contoh, bagi pengayaan program matematik untuk kanak-kanak berumur lapan tahun, kanak-kanak tersebut tidak diperkenalkan dengan kurikulum untuk umur yang lebih tinggi tetapi kanak-kanak tersebut diberikan soalan yang lebih kompleks yang memerlukan kemahiran kanak-kanak tersebut. Selain itu, aktiviti pengayaan dapat dijalankan dengan melibatkan aktiviti yang tidak disediakan dalam bilik darjah seperti permainan catur, sudoku dan sebagainya.
Kaedah ini mengambil kira bahawa kanak-kanak yang pintar cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah.
Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh kanak-kanak. Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga masyarakat.
Tujuan bagi kaedah pengayaan adalah untuk membolehkan kanak-kanak menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereka serta menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka. Aktiviti ini juga dapat menambahkan minat mereka untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta melahirkan daya kreativiti.
Comments
Post a Comment